PENDIDIKAN PRASEKOLAH

Home

KULIAH PENDIDIKAN PRASEKOLAH | KULIAH ILMU PENDIDIKAN | Nota Kuliah Pendidikan Prasekolah Semester Satu | Nota Kuliah KDC (KDPM) | GURU PRASEKOLAH | Favorite Links | Sila Hubungi jika anda ada masalah mengenai Prasekolah. | New Page Title
UNTUK GURU PRASEKOLAH

MENANGANI  EMOSI PELAJAR

 

25 TIPS BERGUNA UNTUK MENGURUS EMOSI DAN PEMBELAJARAN

Di sini disenaraikan sebanyak 25 tips berguna untuk mengurus emosi dan pembelajaran bagi anak-anak dan juga keluarga. Ianya adalah di dalam bentuk pengurusan minda. Saranan ini ditujukan buat semua kelompok kanak-kanak tanpa mengenal peringkat usia. Ia juga tidak diarah secara spesifik terhadap mana-mana tabiat, corak pembelajran atau keadaan emosi.

1. Menambahkan jumlah perhubungan dalam diri anak.

Ini adalah untuk mewujudkan satu perasaan menjadi sebahagian daripada suatu yang lebih besar berbanding diri sendiri. Suatu yang lebih besar itu boleh jadi keluarganya sendiri, sanak-saudara, sekolah, jiran tetangga atau masjid; suatu keadaan di mana kepercayaan boleh dikongsi bersama, kelab, parti politik, bandar, negeri, negara; etnik; keadaan semulajadi atau keadaan persekitaran; rakan karib atau rakan sekerja dan sebagainya. Perhubungan ini adalah kunci bagi kesihatan mental pada kanak dan juga orang dewasa. Walau bagaimanapun, sepanjang 50 tahun kebelakangan ini, sikap terhadap perhubungan ini telah banyak terpesong. Extended family, nuclear family, jiran tetangga, masjid dan sis perhubungan lain yang dahulunya dianggap kuat sekarang ini telah menampakkan kelemahan. Masyarakat kini lebih bersifat individualistik walaupun pada zahirnya kepesatan dan kecanggihan teknologi kini menjadikan kita lebih mudah berhubung antara satu sama lain. Sesungguhnya hal ini adalah tidak baik untuk anak-anak kita. Perkembangan kendiri, sifat optimistik dan aspek kesalamatan bergantung kepada keupayaan anak-anak membina sifat perhubungan ini secepat mungkin. Maka ibubapa haruslah membantu dalam membimbing anak-anak mereka sebanyak mungkin.

2. Makan malam bersama-sama keluarga.

Hendaklah makan malam bersama-sama keluarga seberapa kerap yang boleh. Cuba jadikannya suatu keutamaan. Melalui cara ini ia dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. Ia juga menyediakan suatu forum tidak formal bagi diskusi umum di mana sesiapa sahaja boleh mengambil bahagian.

3. Kenalpasti peraturan di dalam rumah anda dan pastikan semua ahli keluarga lain juga mengetahuinya.

Peraturan sebenarnya adalah suatu yang baik dan memberi manfaat sekiranya dilaksanakan secara berterusan. Pada hakikatnya setiap keluarga memang mempunyai peraturannya sendiri sama ada disedari ataupun tidak. Adalah lebih baik untuk menyatakan peraturan yang ada supaya:
a) Diri sendiri sedar akan peraturan itu.
b) Supaya orang lain dapat membantu dan membimbing serta mengingatkan diri anda agar tidak lupa. Ia juga tertakluk kepada sebarang perubahan.

4. Kamus hendaklah diletakkan di suatu tempat yang jelas kelihatan di dalam bilik penting contohnya ruang tamu atau dapur.

Kumus tidak seharusnya tersorok. Guna kamus sekerap mungkin dan pastikan anak-anak melihat anda menggunakannya di samping belajar menggunakannya sendiri.

5. Cukup tidur.

Kebanyakan keluarga tidak mempunyai waktu tidur yang cukup. Kekurangan tidur telah menjadi sebahagian daripada corak kehidupan moden. Waktu tidur yang cukup agak sukar diperolehi sekiranya terdapat bayi di rumah namun apabila anak anda telah berjaya tidur dengan nyenyak sepanjang malam cuba aturkan waktu tidur yang teratur untuk semua orang. Minda anda suka untuk dalam satu set rithma jika boleh.

6. Bersenam secukupnya.

Senaman adalah merupakan ubat terbaik untuk minda tidak kira bagi kanak-kanak ataupun orang dewasa. Tidak dinafikan senaman juga bagus untuk seluruh tubuh badan tetapi ia sangat baik bagi minda anda. Senaman membantu minda anda memfokus, menjadikannya kurang lembab dan membekalkan makanan dan nutrien yang diperlukan. Senaman dapat membantu bagi kanak-kanak yang cepat marah, murung atau gelisah.

7. Buang perkataan pandai dan bodoh.

Beritahu anak-anak anda bahawa itu bukanlah suatu istilah yang tepat. Pandai dan bodoh tidak bermakna apa-apa. Beritahu anak anda bahawa setiap orang mempunyai kelebihan masing-masing. Apa yang lebih penting setiap individu itu mempunyai keupayaan dan kebolehan serta kekuatan untuk berusaha ke arah apa yang dikehendaki.

8. Nilai pelajaran.

Beritahu anak anda tentang kepentingan pelajaran. Beri mereka alasan-alasan mengapa mereka perlu belajar selain daripada untuk memuaskan hati ibubapa dan guru. Bertanya kepada anak anda apa yang dipelajarinya hari ini.

9. Harus bertanya.

Tekankan kepentingan bertanya.

10. Memisahkan rasa takut dalam pembelajaran.

Ketakutan adalah ketidakupayaan paling biasa berlaku di dalam pembelajaran namun ianya adalah yang paling boleh dicegah. Ini adalah disebabkan kebanyakan daripada ibubapa membesar dalam sistem pendidikan yang menggunakan rasa takut, malu dan menghina.

11. Baca dengan jelas kepada anak anda.

Membaca kepada anak anda dapat membantu perkembangan imaginasinya disebabkan pembacaan kepada si anak ini tadi membolehkannya membentuk gambaran pemikirannya. Ia juga berupaya membentuk deria musik dan bahasa.

12. Beri pujian ke atas usaha anak anda dalam belajar dan berikannya keyakinan.

Ingat! Belajar itu adalah suatu yang sukar. Oleh itu anda harus berikan pujian dan keyakinan yang berterusan. Anda tidak perlulah menyimpan puji-pujian itu hanya untuk masa-masa yang istimewa. Ini disebabkan masa-masa yang istimewa itu akan datang dengan lebih kerap dengan adanya pujian dan keyakinan yang berterusan ini.

13. Pasang muzik di dalam rumah.

Kajian telah dilakukan mendapati bahawa para pekerja membuat kerja dengan lebih baik dan para pelajar juga dapat belajar dengan lebih baik apabila mendengar muzik alunan Mozart. Kebanyakan murid dapat belajar dengan lebih baik sekiranya mendengar muzik yang sesuai.

14. Beritahu anak anda bahawa kegagalan itu harus ditempuhi dengan tabah.

Tiada individu yang berjaya tanpa melalui kegagalan. Cara yang terbaik untuk berjaya adalah dengan belajar dari peringkat asas dan secara beransur-ansur naik. Jika anak anda takutkan kegagalan ini bermakna ilmu yang anak anda perolehi dalam mempelajari sesuatu yang baru akan jauh lebih sedikit daripada anak-anak yang berani dan yakin.

15. Hapuskan sindiran.

Sekiranya anda marah, katakan anda marah; sekiranya anda sedih, katakan anda sedih. Cuba jangan melakukan sindiran kepada anak dan juga pasangan anda (anak anda boleh mempelajari daripada tindakan anda itu). Penggunaan sindiran berterusan boleh menghalang sifat terbuka dalam diri anak anda.

16. Jika anak anda menghadapi kecelaruan dalam berfikir menumbuk kepalanya dan berkata bodoh, berikannya keyakinan dan temankannya buat seketika.

Bantu anak anda menangani masalah ketegangan. Beritahunya bahawa apa yang dirasai adalah suatu yang biasa dalam proses belajar. Tanyakan kepadanya sama ada dia memerlukan pertolongan atau sama ada, adanya pendekatan lain yang dia boleh cuba.

17. Kenali kemampuan minda anak anda.

Tanya pada diri anda : Apakah kemampuan minda anak anda? Dalam keadaan apa yang dia berupaya belajar di tahap optima? Bila masa anak anda kurang memberi penumpuan terhadap pelajaran? Adalah menjadi suatu kesalahan untuk menganggap bahawa kemampuan minda semua orang berada di tahap yang sama dalam setiap keadaan. Bantu diri anda dan anak anda mengenali bagaimana mindanya boleh berfungsi pada tahap terbaik.

18. Terima anak anda seadanya.

Seseorang itu dijadikan unik. Setiap individu itu berbeza daripada yang lain. Oleh itu anda harus menerima anak anda seadanya disamping cuba mencungkil bakat yang ada didalam dirinya.

19. Bantu anak anda dalam mengenali serta menangani perasaannya.

Cuba mengenal pasti setiap perasaan adalah suatu kelebihan. Bila anak anda bersedih bantu dia untuk meluahkannya kepada orang lain. Frasa Mak, saya sedih, boleh menjadi tanda bermulanya rasa lega.

20. Bila perasaan tidak senang melanda diri anak anda bantu dia mengenali perasaan itu dan memberitahu ia akan lenyap.

Tiada perasaan yang kekal selamanya. Beritahu dia bahawa ia akan lenyap. Ini adalah salah satu perkara asas dalam memperolehi keyakinan kendiri.

21. Faktor diet.

Cuba kenal pasti diet kesukaan anak anda. Jika anak anda menghadapi sebarang masalah cuba berunding dengan doktor atau pakar pemakanan. Pastikan anak anda mendapat makanan yang seimbang. Elakkan daripada memakan junk food dengan kerap.

22. Guna penstukturan.

Pastikan adanya peraturan, jadual dan ketekalan dalam diri anak anda. Jadual dapat menyediakan satu rangka tugas berhubung apa yang harus dilakukan dalam hari tersebut.

23. Sembahyang.

Ia dapat membantu dalam menenangkan fikiran di samping dapat menyediakan peluang untuk berdoa kepada Allah/ Tuhan.

24. Dadah.

Beritahu anak anda tentang bahaya dadah dan sentiasa ingatkan dirinya supaya menjauhkan diri dari dadah.

25. Tanya anak anda apa yang sesuai bagi dirinya.

Tanya dirinya teknik apa atau kebiasaan yang macam mana yang boleh membantu dirinya belajar, bermain di samping menjalani kehidupan seharian. Bila ditanya anak anda pasti akan menjawab. Namun, apa yang biasa menjadi kebiasaan ibubapa sendiri yang menentukan apa yang baik buat anak mereka tanpa bertanya terlebih dahulu. Ini suatu kesilapan!



 

Falsafah Pembangunan Manusia Sebagai Insan

Pengenalan

Unit ini akan memperkenalkan anda kepada konsep insan dan manusia serta falsafah pembangunan manusia di sepanjang hayat. Sebanyak 11 perspektif akan dibentangkan bagi menerangkan falsafah pembangunan manusia. Pemahaman tentang falsafah pembangunan manusia adalah penting sebagai asas untuk meneliti proses yang dilalui oleh manusia dari awal kejadian sehingga ke akhir hayat. Setiap perspektif yang dibincangkan memberikan takrifan tersendiri tentang pembangunan manusia sebagai insan.

Topik-topik yang akan dibincangkan mengenai falsafah pembangunan manusia adalah:

1.1 Konsep insan dan manusia

1.2 Perspektif Multi-dimensi dan Interdisiplinari

1.3 Perspektif Sepanjang Hayat

1.4 Perspektif Herediti dan Persekitaran

1.5 Perspektif Kelangsungan

1.6 Perspektif Kumulatif

1.7 Perspektif Kestabilan dan Perubahan

1.8 Perspektif Kepelbagaian

1.9 Perspektif Kitaran dan Ulangan

1.10 Perspektif Perbezaan Individu

1.11 Perspektif Perbezaan Budaya

1.12 Perspektif Pengaruh Resiprokal

1.13. Kesimpulan Objektif Unit

Selepas mempelajari unit ini pelajar akan dapat:

a. Menerangkan falsafah pembangunan manusia di sepanjang hayat

b. Menyenaraikan 11 perspektif yang menerangkan falsafah pembangunan manusia

c. Membincang dan membezakan antara satu perspektif dengan perspektif yang lain.

Bacaan

Rice, F. P. (1998). Human Development: A life span approach. N. J.: Prentice Hall.

1.Konsep Insan dan Manusia :

Kamus Dewan mendefinisikan insan sebagai manusia. Dalam kursus ini, insan merujuk kepada manusia sejagat iaitu manusia secara universal. Kursus ini membincangkan tentang insan dan sistem di mana mereka berinteraksi dan bertransaksi dan kesannya terhadap kualiti hidup.

1.2 Perspektif multi-dimensi dan interdisiplinari

Pembangunan manusia merupakan satu proses yang kompleks yang boleh dibahagikan kepada empat dimensi, iaitu:

a. Perkembangan fizikal

b. Perkembangan kognitif

c. Perkembangan emosi

d. Perkembangan sosial

Setiap manusia akan menempuhi kesemua dimensi perkembangan di sepanjang hayatnya. Dimensi tersebut mempunyai ciri umum yang ketara yang mana akan dilalui oleh setiap individu mengikut tahap kitaran hidup. Walaupun demikian, wujud ciri unik yang membezakan seorang individu dengan individu yang lain bersesuaian dengan fitrah kejadian masing-masing.

Perkembangan Fizikal

Perkembangan fizikal merujuk kepada pertumbuhan dari segi ketinggian dan berat badan, perkadaran pertumbuhan bahagian tubuh, kematangan sistem organ utama tubuh seperti otak dan saraf, motor kasar dan motor halus, kematangan deria dan keperluan penjagaan kesihatan menerusi pemakanan, tidur yang mencukupi dan gaya hidup sihat. Perkembangan seksual juga terangkum dalam perkembangan fizikal.

Perkembangan Kognitif

Kognisi merujuk kepada perlakuan mengetahui dan mempersepsi. Perkembangan kognitif bermaksud proses di mana individu berkembang dari aspek pengetahuan dan keupayaannya untuk membuat persepsi, berfikir, memahami dan menggunakan kemahiran ini untuk meneruskan kehidupan. Perkara yang amat berkait dengan perkembangan kognitif adalah kemahiran intelek, persekolahan, pendidikan dan kejayaan.

Perkembangan Emosi

Emosi ialah keadaan perasaan yang merupakan satu elemen penting untuk penerusan kehidupan. Perkembangan emosi bermaksud perkembangan perasaan dan peluahannya dalam konteks hubungan dengan orang atau objek lain di dunia ini. Emosi juga merupakan pengantara komunikasi, faktor penting dalam hubungan sosial dan agen penggalak tingkahlaku yang utama. Emosi merupakan sumber keseronokan mahupun kesedihan yang berupaya mempengaruhi perkembangan moral seseorang.

Perkembangan Sosial

Faktor sosial dan budaya (atau sosio-budaya) merupakan pengaruh penting dalam kehidupan seseorang manusia. Konteks pelbagai seperti keluarga, jiran, komuniti, negeri dan negara serta dunia merupakan keadaan persekitaran di mana individu boleh dipengaruhi ataupun mempengaruhi ibubapa, rakan sebaya, saudara-mara, dan individu lain. Bahan seperti media cetak dan elektronik, tempat seperti pusat ibadat dan sekolah serta peristiwa yang berlaku di dunia juga boleh mempengaruhi individu.

Rajah 1 menunjukkan elemen yang terkandung dalam tiap-tiap dimensi perkembangan manusia.

Kesemua dimensi di atas adalah saling bergantung dan menerangkan antara satu sama lain. Sebagai contoh, perkembangan sosial boleh dipengaruhi oleh kematangan biologikal, kemampuan intelektual dan reaksi emosi. Kemahiran kognitif pula misalnya, amat bergantung kepada kecerdasan fizikal, kestabilan emosi dan pengalaman sosial.

  • Seorang remaja yang obes [FIZIKAL] tidak dapat mengambil bahagian dalam sebarang acara sukan di sekolahnya. Di dalam kelas dia juga kurang cekap mengikuti pelajaran [KOGNITIF]. Dengan pencapaian akademik yang rendah dia merasa terpinggir [SOSIAL]. Oleh itu remaja berkenaan sering murung kerana estim diri yang rendah [EMOSI] dan tidak mempunyai ramai kawan.
  • Seorang tua yang tinggal berseorangan kerana kematian pasangan merasa sunyi [EMOSI], dengan kesihatan yang sering terganggu [FIZIKAL] dan sering ingat-ingat lupa [KOGNITIF] mendapati sukar baginya untuk bergaul dengan masyarakat sekeliling dan ahli keluarga seperti masa mudanya [SOSIAL].

@ Cuba anda fikirkan contoh-contoh lain yang sesuai bagi menerangkan perspektif multi-dimensi dan interdisiplinari.

1.3 Perspektif Sepanjang Hayat

Manusia menjalani proses perkembangan di sepanjang hayatnya bermula dari peringkat pra-lahir sehingga ke akhir hayat. Walaupun terdapat beberapa aspek fizikal yang kelihatan terhenti seperti pertumbuhan ketinggian, perkembangan dari segi perubahan dan adaptasi adalah berterusan di sepanjang hidup. Seseorang yang sentiasa sakit semasa kecilnya tidak mustahil untuk menjadi dewasa yang sihat. Kematangan emosi juga meningkat dengan bertambahnya usia seseorang, begitu juga dengan pengalaman sosialisasi individu yang berlangsung di sepanjang hayatnya

1.4 Perspektif Herediti dan Persekitaran

Perkembangan manusia dipengaruhi oleh faktor herediti seperti pengaruh genetik dan juga faktor persekitaran. Konsep "natur lwn. nurtur" ini menekankan kepada kepentingan faktor baka dan pengaruh persekitaran dalam membentuk perkembangan manusia. Kedua-dua faktor adalah penting dalam mempastikan manusia berkembang mengikut potensi dan fitrah kejadiannya.

1.5 Perspektif Kelangsungan dan bukan kelangsungan

Ahli psikologi berpendapat bahawa wujud beberapa elemen dalam kehidupan manusia yang berlaku secara langsung dan berterusan mengikut peningkatan usia seseorang. Ada juga berpendapat bahawa wujud tahap-tahap tertentu di mana individu mencapai fasa pertumbuhan dan perkembangan tertentu sebelum dapat berkembang ke tahap seterusnya. Perspektif ini amat berkaitrapat dengan pengaruh herediti dan persekitaran ke atas perkembangan manusia.

1.6 Perspektif Kumulatif

Kehidupan manusia boleh dipengaruhi oleh pengalaman awal dalam kehidupannya. Pengalaman awal yang dilalui oleh individu dianggap akan terkumpul dan memberi impak kepada pengalaman kehidupan selanjutnya. Walau bagaimanapun pelbagai faktor boleh mempengaruhi pencapaian semasa seseorang dalam hidup dan bukan semata-mata berasaskan pengalaman lampau sahaja.

1.7 Perspektif Kestabilan dan Perubahan

Manusia dijangkakan boleh mengalami perubahan atau kekal dalam pelbagai aspek perkembangan hidupnya. Sebagai contoh, seorang remaja yang liar dan lemah pencapaian akademiknya berkemungkinan menjadi dewasa yang matang dan bertanggungjawab ataupun sebaliknya. Hasil beberapa kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa terdapat pelbagai faktor dalam persekitaran yang boleh mempengaruhi sama ada personaliti individu kekal atau berubah pada setiap tahap kehidupannya.

1.8 Perspektif Kepelbagaian

Dalam kehidupan manusia mengalami kepelbagaian dalam pertumbuhan dan perkembangan di sepanjang hayatnya. Seorang kanak-kanak yang sedang mengalami transisi ke alam remaja kelihatan besar dari segi fizikal tetapi mungkin masih mempunyai pemikiran dan emosi seperti seorang kanak-kanak kecil. Kecelaruan akibat kepelbagaian ini kadangkala mengelirukan orang lain seperti ibubapa yang mengharapkan kanak-kanak tersebut bertingkahlaku sebagai seorang remaja.

1.9 Perspektif Kitaran dan Ulangan

Penyesuaian berlaku dalam banyak aspek kehidupan. Kadangkala ia berulang pada tahap kitaran hidup tertentu. Misalnya, krisis identiti yang sering melanda pada zaman remaja mungkin berulang di peringkat umur pertengahan. Kitaran dan ulangan ini boleh berbeza antara individu dan dipengaruhi oleh konteks budaya dan persekitaran yang berlainan.

1.10 Perspektif Perbezaan Individu

Individu boleh berbeza dari segi masa dan kadar perkembangan. Misalnya ketinggian dan berat badan yang berbeza; kemampuan kognitif, kestabilan emosi dan kematangan personaliti. Perbezaan boleh juga wujud dari segi kemahiran sosial dan gayahidup. Lazimnya, ciri umum dijadikan indikator bandingan dalam melihat tahap perkembangan individu. Ciri umum ini biasanya ditentukan berdasarkan nilai purata. Namun, nilai purata tidak mengambilkira julat perbezaan yang wujud antara satu individu dengan individu yang lain. Sebagai contoh, purata berat badan bayi baru lahir ialah 3.3 kilogram. Angka ini tidak menggambarkan berapa ramai yang lahir dengan berat badan yang sangat rendah dari nilai purata ini.

1.11 Perspektif Perbezaan Budaya

Perbezaan budaya memainkan peranan yang penting dalam perkembangan individu. Sebagai contoh, di Malaysia umur pada kali pertama berkahwin bagi wanita Melayu pada suatu masa dahulu adalah di bawah 18 tahun, berbanding dengan wanita Cina dan India yang berkahwin kali pertama pada usia yang lebih lewat. Budaya juga menetapkan status yang istimewa kepada mereka yang berkahwin walaupun berusia muda berbanding dengan mereka yang belum berkahwin tetapi telah lewat usia

1.12 Perspektif Pengaruh Resiprokal

Perspektif tindakbalas dua hala ini melihat bagaimana saling tindak antara individu boleh mempengaruhi perkembangan seseorang. Pengaruh orang dewasa dan persekitaran ke atas perkembangan kanak-kanak adalah tidak dinafikan. Walau bagaimanapun kajian telah membuktikan bahawa perbezaan pelbagai ciri yang ada pada kanak-kanak boleh mempengaruhi interaksi orang dewasa dengan mereka. Sebagai contoh, bayi yang comel dan tidak merengek lebih digemari oleh orang dewasa di sekelilingnya yang seterusnya akan memberikan reaksi mesra dan positif. Sebaliknya, seorang kanak-kanak nakal yang sukar dibentuk akan menjadikan dewasa di sekelilingnya bertindak garang dan menolak kehadiran kanak-kanak tersebut.

1.13 KESIMPULAN

* Unit satu telah membentangkan tentang falsafah pembangunan manusia sebagai asas untuk memahami proses yang dilalui oleh manusia dari awal kejadian sehingga ke akhir hayat.

* Konsep insan dan manusia diterangkan pada awal unit di mana insan merujuk manusia sejagat yang hidup dalam persekitarannya.

* Terdapat 11 perspektif yang melihat manusia sebagai insan yang berkembang mengikut konsep-konsep yang tersendiri.

* Perkembangan manusia dilihat sebagai meliputi pelbagai dimensi (fizikal, kognitif, emosi dan sosial), berlangsung sepanjang hayat secara berterusan, saling mempengaruhi antara satu sama lain.

* Perkembangan manusia juga dianggap dipengaruhi oleh pengaruh baka dan asuhan, serta budaya di samping itu terdapat perkembangan yang berulang ataupun berlangsung dalam kitaran.

Latihan

1. Senaraikan ciri perkembangan umum yang dilalui oleh seorang kanak-kanak tadika dan seorang dewasa berusia 60 tahun mengikut dimensi perkembangan fizikal, kognitif, emosi dan sosial yang telah anda pelajari.

Kanak-kanak tadika:

Orang dewasa berumur 60 tahun:

2. Huraikan bagaimana seorang remaja boleh saling berhubung dengan

persekitarannya. [Untuk menjawab soalan ini anda perlu meneliti

perspektif-perspektif yang telah dipelajari].

 
 

 

Enter supporting content here